Isnin, 12 September 2011

BUKA RUANG DAN PELUANG BAGI DIRI SENDIRI


Salam sukses,

Orang yang gagal menyempitkan ruang diri mereka sendiri. Orang yang biasa-biasa tidak membuka ruang untuk diri mereka. Mereka membiarkan diri mereka ’seperti biasa’. Sebab itu mereka hanya ‘biasa-biasa’. Bagaimana dengan orang yang cemerlang?

Ada satu idea menarik daripada seorang tokoh pendidikan dan dakwah yang terkenal, Prof. Dr. Sidek Baba atau lebih senang dipanggil dengan panggilan ‘cikgu’. Pernah menjadi timbalan Presiden ABIM pada tahun 1980-an dan menjadi Timbalan Rektor (HEP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Jasanya dalam dakwah dan pembangunan insan besar sekali.

Beliau menceritakan banyak latar belakang hidupnya yang susah sewaktu kecil. Berasal dari Kg. Masjid Tanah, Melaka, beliau berasal dari keluarga yang susah. Bapanya seorang penoreh getah yang berpendapatan RM2.50 sehari. Beliau terpaksa berbasikal sejauh 50 kilometer sehari hanya untuk pergi ke sekolah dan selepas itu ke hutan mengutip petai yang ada. Kemudian dia menjaja petai yang dikutip, sehingga dikenali sebagai ‘budak petai’. Adakah beliau terus membiarkan dirinya sekadar ‘budak petai’?

Sudah tentu tidak. Antara petua yang beliau kongsi  adalah, untuk berjaya, kita perlu membuka ruang dan peluang kepada diri kita sendiri bagi menjadi lebih baik. Bagaimana? Kenal pasti bakat dan minat yang ada, kemudian pelajari ilmu mengasah bakat tersebut dan lakukan secara bersungguh-sungguh. Secara mudah, saya gambarkan seperti rajah di bawah ini:


Mungkin sebelum ini kita sering menghadkan keupayaan kita. Nah, ayuh kita buka ruang kepada diri kita, dengan membuat analisa diri dan merancang tindakan yang perlu bagi mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.
Semoga sukses!

- Oleh Cikgu MDS

Ahad, 11 September 2011

ABC BAGI MENENTUKAN PRIORITI



Salam Sukses!
Pelajar pasti tahu betapa pentingnya menentukan prioriti (keutamaan) dalam kerja seharian, tetapi sering kali tidak tahu bagaimana hendak menentukan prioriti bukan? Mungkin anda boleh gunakan kaedah ABC. Kaedah ini sememangnya banyak disebut oleh pakar-pakar pengurusan, antaranya Alan Lakein. Kaedah ABC begitu dihargai sehingga dianggap sebagai ‘datuk’ kepada strategi menentukan prioriti.
Bagaimana caranya? Mudah sahaja. Kategorikan tugasan-tugasan anda kelas kepada tiga jenis tugasan iaitu A, B, dan C seperti berikut:

1) Tugasan A adalah tugasan yang mesti dibuat secepat mungkin. Selepas selesai pelaksanaannya, tugasan seperti ini dapat memberikan keuntungan yang besar. Sebaliknya apabila ditinggalkan, ia membawa bencana, kesusahan dan kerugian kepada hidup kita. Unsur segera juga sangat penting dalam tugasan A.
2) Tugasan B pula adalah tugasan yang saudara patut lakukan tidak lama lagi. Ia juga penting tetapi tidaik sepenting tugasan A. Ia boleh ditangguhkan, tetapi tidaklah terlalu lama. Bahkan, mungkin dalam beberapa jam kemudian tugasan B boleh bertukar menjadi tugasan A.
3) Tugasan C adalah tugasan yang boleh diketepikan tanpa memberikan kesan yang begitu besar. Anda  masih boleh ‘bertolak ansur’ dengan kesan dan akibat apabila kita terpaksa mengabaikannya. Anda juga boleh melambat-lambatkan sesetengah tugasan ini kerana ada tugasan yang tidak mempunyai tarikh akhir. Kalau ada yang mempunyai tarikh akhir pun, jaraknya masih jauh lagi. Namun, Tugasan C boleh juga bertukar menjadi tugasan A dan B apabila tarikh akhir menjadi semakin hampir.
Tidak cukup tiga kategori ini? Jangan bimbang, kerana ada satu lagi kategori tugasan ‘tambahan’ bagi anda. Ia dipanggil ‘tugasan D’. Apakah itu tugasan D? Tugasan D adalah kerja-kerja, yang secara teorinya saudara tidak perlu melakukannya. Biasanya tiada tarikh akhir.

Sekiranya anda tidak melakukannya, hidup anda tidak terjejas dan tiada masalah yang akan timbul. Tetapi apabila anda berjaya melaksanakannya, anda berasa seronok dan puas. Kadangkala, apabila anda melakukannya (semasa anda tidak ada perkara lain hendak dibuat), anda akan memperoleh ‘habuan’ yang tidak disangka-sangka.

Contohnya anda mengisi beberapa minit masa terluang bagi menelefon rakan sekolah lama selepas lima tahun tidak bertanya khabar. Tiada apa yang penting dan segera. Sekiranya tidak menelefon pun anda tidak kehilangan apa-apa. Tetapi anda mendapat tahu rakan kita itu ahli perniagaan berjaya dan menawarkan anda satu peluang perniagaan yang sungguh lumayan! Untung, bukan? Oleh itu, jangan melecehkan ‘kuasa’ yang ada pada tugasan D ini.

- Oleh Cikgu MDS

Sabtu, 10 September 2011

KUASA KEJAYAAN


Salam Kejayaan,
Pernahkah anda mendengar lagu Bangau oh Bangau? Lagu itu mengisahkan seekor bangau yang kurus, menyalahkan ikan yang tidak mahu timbul. Ikan pula menyalahkan rumput yang panjang, rumput menyalahkan lembu yang tidak makan rumput, lembu menyalahkan perutnya yang sakit, perut menyalahkan nasi mentah, kemudian nasi menyalahkan kayu api basah, kayu api basah menyalahkan hujan, hujan menyalahkan katak, katak menyalahkan ular dan ular dengan penuh yakin berkata, sudah menjadi fitrahnya memakan katak. Jadi apa masalahnya?

 Daripada peristiwa kisah Bangau oh Bangau ini lahir satu petua yang menarik. Saya kongsikan di sini. Saranannya supaya berhenti daripada menjadi bangau jika hendak memiliki ‘kuasa’ dalam mencorak hidup dan meraih kejayaan. Berhenti menuding jari ke arah orang lain bermaksud kita memberikan bidang kuasa yang sepenuhnya kepada diri kita sendiri.

Apabila kita asyik menuding jari ke arah orang lain, maka kita menjadi ‘lemah dan tidak bertenamenga’ melakukan perubahan di dalam hidup kita. Kita hanya membiarkan apa yang telah berlaku, terus berlaku dan terus berlaku. Kerana kita ‘tidak berdaya berbuat apa-apa’.

Selamat  menggarap kejayaan dalam pengembaraan kehidupan sebagai seorang pelajar.

-Oleh Cikgu MDS

Ahad, 4 September 2011

Permohonan Kemasukan : Ke Tingkatan Empat (4) Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2012



Permohan Atas Talian (online) ke Tingkatan Empat (4) Sekolah Berasrama Penuh  Sesi 2012 sedang dibuka.

Tarikh Tutup Permohonan : 15 Oktober 2011

Sila hubungi Kaunselor Pelajar anda untuk keterangan lanjut kepada yang berminat.

Permohonan Kemasukan : KOLEJ VOKASIONAL, SEKOLAH MENENGAH TEKNIK dan SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL TAHUN 2012

Permohonan ke Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional Tahun 2012 akan dibuka bermula 
5 September 2011 sehingga 19 Disember 2011. 

Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia, www.moe.gov.my pada ruangan e-perkhidmatan KPM atau datang sendiri (walk-in) ke SMV atau SMT berhampiran bermula pada 5 September 2011.  

Pemohonan dibuat berdasarkan keputusan percubaan PMR 2011. 

Untuk keternagan lanjut sila hubungi SMV atau SMT berhampiran atau layari laman web : www.moe.gov.my/bptv

Rayuan boleh dibuat secara atas talian (online). 

Tarikh persekolahan bermula : 9 Januari 2012.

Tarikh Tutup Permohonan : 19 Disember 2011