Ahad, 11 September 2011

ABC BAGI MENENTUKAN PRIORITI



Salam Sukses!
Pelajar pasti tahu betapa pentingnya menentukan prioriti (keutamaan) dalam kerja seharian, tetapi sering kali tidak tahu bagaimana hendak menentukan prioriti bukan? Mungkin anda boleh gunakan kaedah ABC. Kaedah ini sememangnya banyak disebut oleh pakar-pakar pengurusan, antaranya Alan Lakein. Kaedah ABC begitu dihargai sehingga dianggap sebagai ‘datuk’ kepada strategi menentukan prioriti.
Bagaimana caranya? Mudah sahaja. Kategorikan tugasan-tugasan anda kelas kepada tiga jenis tugasan iaitu A, B, dan C seperti berikut:

1) Tugasan A adalah tugasan yang mesti dibuat secepat mungkin. Selepas selesai pelaksanaannya, tugasan seperti ini dapat memberikan keuntungan yang besar. Sebaliknya apabila ditinggalkan, ia membawa bencana, kesusahan dan kerugian kepada hidup kita. Unsur segera juga sangat penting dalam tugasan A.
2) Tugasan B pula adalah tugasan yang saudara patut lakukan tidak lama lagi. Ia juga penting tetapi tidaik sepenting tugasan A. Ia boleh ditangguhkan, tetapi tidaklah terlalu lama. Bahkan, mungkin dalam beberapa jam kemudian tugasan B boleh bertukar menjadi tugasan A.
3) Tugasan C adalah tugasan yang boleh diketepikan tanpa memberikan kesan yang begitu besar. Anda  masih boleh ‘bertolak ansur’ dengan kesan dan akibat apabila kita terpaksa mengabaikannya. Anda juga boleh melambat-lambatkan sesetengah tugasan ini kerana ada tugasan yang tidak mempunyai tarikh akhir. Kalau ada yang mempunyai tarikh akhir pun, jaraknya masih jauh lagi. Namun, Tugasan C boleh juga bertukar menjadi tugasan A dan B apabila tarikh akhir menjadi semakin hampir.
Tidak cukup tiga kategori ini? Jangan bimbang, kerana ada satu lagi kategori tugasan ‘tambahan’ bagi anda. Ia dipanggil ‘tugasan D’. Apakah itu tugasan D? Tugasan D adalah kerja-kerja, yang secara teorinya saudara tidak perlu melakukannya. Biasanya tiada tarikh akhir.

Sekiranya anda tidak melakukannya, hidup anda tidak terjejas dan tiada masalah yang akan timbul. Tetapi apabila anda berjaya melaksanakannya, anda berasa seronok dan puas. Kadangkala, apabila anda melakukannya (semasa anda tidak ada perkara lain hendak dibuat), anda akan memperoleh ‘habuan’ yang tidak disangka-sangka.

Contohnya anda mengisi beberapa minit masa terluang bagi menelefon rakan sekolah lama selepas lima tahun tidak bertanya khabar. Tiada apa yang penting dan segera. Sekiranya tidak menelefon pun anda tidak kehilangan apa-apa. Tetapi anda mendapat tahu rakan kita itu ahli perniagaan berjaya dan menawarkan anda satu peluang perniagaan yang sungguh lumayan! Untung, bukan? Oleh itu, jangan melecehkan ‘kuasa’ yang ada pada tugasan D ini.

- Oleh Cikgu MDS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan