Isnin, 12 September 2011

BUKA RUANG DAN PELUANG BAGI DIRI SENDIRI


Salam sukses,

Orang yang gagal menyempitkan ruang diri mereka sendiri. Orang yang biasa-biasa tidak membuka ruang untuk diri mereka. Mereka membiarkan diri mereka ’seperti biasa’. Sebab itu mereka hanya ‘biasa-biasa’. Bagaimana dengan orang yang cemerlang?

Ada satu idea menarik daripada seorang tokoh pendidikan dan dakwah yang terkenal, Prof. Dr. Sidek Baba atau lebih senang dipanggil dengan panggilan ‘cikgu’. Pernah menjadi timbalan Presiden ABIM pada tahun 1980-an dan menjadi Timbalan Rektor (HEP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Jasanya dalam dakwah dan pembangunan insan besar sekali.

Beliau menceritakan banyak latar belakang hidupnya yang susah sewaktu kecil. Berasal dari Kg. Masjid Tanah, Melaka, beliau berasal dari keluarga yang susah. Bapanya seorang penoreh getah yang berpendapatan RM2.50 sehari. Beliau terpaksa berbasikal sejauh 50 kilometer sehari hanya untuk pergi ke sekolah dan selepas itu ke hutan mengutip petai yang ada. Kemudian dia menjaja petai yang dikutip, sehingga dikenali sebagai ‘budak petai’. Adakah beliau terus membiarkan dirinya sekadar ‘budak petai’?

Sudah tentu tidak. Antara petua yang beliau kongsi  adalah, untuk berjaya, kita perlu membuka ruang dan peluang kepada diri kita sendiri bagi menjadi lebih baik. Bagaimana? Kenal pasti bakat dan minat yang ada, kemudian pelajari ilmu mengasah bakat tersebut dan lakukan secara bersungguh-sungguh. Secara mudah, saya gambarkan seperti rajah di bawah ini:


Mungkin sebelum ini kita sering menghadkan keupayaan kita. Nah, ayuh kita buka ruang kepada diri kita, dengan membuat analisa diri dan merancang tindakan yang perlu bagi mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.
Semoga sukses!

- Oleh Cikgu MDS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan